Khamis, 13 Jun 2013

SPAD: Jimatkan Wang dan Masa, Gunakanlah Sepenuhnya Perkhidmatan Bas Percuma GO-KL @SPADChannel


Pengalaman menggunakan khidmat bas percuma, GO-KL memang sungguh mengujakan. Pertama kali, ambe rasa cukup relaks dan santai berada di pusat bandaraya. Sebelum ini, jangan sebutlah KLCC, Times Square, Bukit Bintang dan Central market, taubat lahom nak pergi bersantai. Parkirnya mahal. Jalannya amat sesak. Mana boleh tahan dengan asap dan wasap kenderaan yang tak pernah kenal erti berhenti. Tapi setelah di cabar oleh beberapa rakan, maka ambe menguji sendiri keberkesanan perkhidmatan GO-KL dan LRT, bagi merasai sendiri pengalaman ; menggunakan kedua perkhidmatan pengangkutan awam darat tersebut. Ternyata, ianya tidak mengecewakan ambe.

Bermula dari memparkir kereta di Terminal Bersepadu Selatan, kadar bayaran parkir seharian cuma RM3.00, tempat parkir luas dan berbumbung, petak parkir banyak. CCTV dan pegawai keselamatan sentiasa ada. Parkir berhampiran dengan hentian teksi bajet dan bas bandar. Malah, mesin bayar parkir auto pun dalam kawasan parkir. Ambe menaiki LRT RapidKL di aras 2 melalui jejantas; yang menyambung bangunan utama dengan stesen-stesen yang ada. Di sini ambe dapati, pergerakan tak sesak. Trafik laluan pengguna dipecahkan kepada lif, tangga elektrik dan tangga biasa. Akses kepada pengguna sungguh mengagumkan.







Ambe menaiki LRT Rapid KL laluan Sri Petaling-Ampang. Ambe menggunakan kad Touch n Go. Transit di masjid Jame' dan bertukar tren ke KLCC. Semasa dalam LRT, ambe perhatikan, kesesakan biasa sudah tiada. Mungkin kerana kesan penambahan koc. Tahniah SPAD! Sesampai di stesen LRT KLCC, ambe cuma perlu ikuti arah papantanda. Keluar sahaja dari stesen LRT KLCC, ambe terus tiba di hentian GO-KL KLCC. Punyalah mudah dan cepat! Ambe perhatikan, paling tidak ada empat buah GO-KL sentiasa berada di hentian tersebut. Ambe turut melihat seorang kakitangan GO-KL yang sentiasa mengawalselia ketibaan dan perlepasan GO-KL dengan penuh teratur.




Ada dua laluan utama GO-KL yang diberikan nama, laluan Ungu dan laluan Hijau. Peta laluan ada terpapar di hentian tersebut. Anda cuma perlu memilih laluan mana yang sesuai. Pada badan bas GO-KL dan di sebelah atas cermin depan, ada tertera paparan digital destinasi laluan. Peta laluan GO-KL juga boleh di lihat DI SINI (PETA LALUAN GO-KL). Pada kali ini ambe gunakan GO-KL laluan hijau. Pertama kali lah, ambe cukup selesa mengunjungi Low Yatt dan Bukit Bintang. Tanpa sikit pun ada rasa tertekan dan menyampah dengan kesesakan trafik.




Ambe juga turut amat selesa dengan keadaan dalam bas percuma GO-KL. Ruang yang luas. Hawa dingin yang menyejukkan. Pemanduan yang berhemah. Tempat duduk yang selesa. Ada perkhidmatan WiFi percuma dalam bas. Ciri-ciri keselamatan yang mesra pengguna. Tak banyak songeh. Tak banyak karenah. Displin pemandu yang bagus. Tempat hentian yang tak menyusahkan pengguna. Kekerapan berlepas bas yang menepati masa. Perjalanan ambe tidak terganggu langsung. Ambe selamat sampai di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) , jam 5 petang.

Semasa keluar dari TBS, ambe tidak terperangkap dalam kesesakan lalulintas pun. Ambe akan menulis mengenai laluan ungu GO-KL nanti. Keseluruhan kos ambe , termasuk parkir, tak sampai RM10! Berbanding sebelum ini, di mana ambe terpaksa berbelanja hampir RM100! Bagi ambe, ianya membuktikan kejayaan cemerlang SPAD dalam meningkatkan mutu pengangkutan awam darat. Apakat anda mencubanya pula di hujung minggu ini ? Atau terbaik, setiap hari ? Perkhidmatan sudah ada, cuma menunggu kita menggunakannya saja. Terimakasih kerajaan Barisan Nasional !



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...