Mutakhir ini, Malaysia melalui SPAD , sebuah agensi yang ditubuhkan bagi menambahbaik pengangkutan awam darat, memberikan tumpuan serius kepada perkhidmatan rel. Menyedari peri pentingnya akses mudah pengangkutan awam darat sebagai aternatif kepada kereta persendirian, pengangkutan rel mempunyai potensi besar. Berbanding bas, rel mampu membawa penumpang dalam jumlah yang ramai dan memang sah tiada masalah 'kesesakan lalulintas'.
Kekerapan jadual perjalanan rel sentiasa diperkemaskan dan dipantau dengan baik oleh SPAD. Keselesaan dan keselamatan penumpang rel juga diutamakan. Rangkaian rel ditambah dari masa kesemasa. Akses mudah pengangkutan awam adalah mustahak bagi memastikan kelancaran perjalanan warga kerja dari rumah ke tempat kerja. SPAD sentiasa memastikan tambang pengangkutan awam darat adalah pada kadar yang mampu diserap oleh pengguna.
Ada beberapa faktor utama pada pendangan ambe, kenapa perkhidmatan rel lebih afdal dan efektif. Pertama, faktor penggunaan tanah. Setiap inci kawasan perbandaran utama di Malaysia digunakan bagi pembangunan hartanah. Dan jalan-jalan utama yang sedia ada menjadi semakin sempit dan sukar untuk dilebarkan. Kerana kos pengambilan tanah adalah terlalu tinggi. Landasan rel boleh dibina diatas atau dibawah tanah. Ini lebih mudah. Kos pengambilan tanah dapat dikurangkan. Masa melaksanakan sesuatu projek rel jauh lebih singkat berbanding menaiktaraf mana-mana jalan-jalan utama. Lagipun, jalan-jalan utama terletak pada bidangkuasa agensi-agensi berbeza-beza. Ada jalan kategori jalan Persekutuan, jalan Negeri, jalan dibawah PBT dan jalan persendirian. Tetapi ini tak berlaku pada landasan rel.
Kedua, perkhidmatan rel sepenuhnya automatik dan separa automatik. Ianya teknologi Hijau dan mesra alam kerana menggunakan kuasa elektrik. Tenaga elektrik boleh dijana dengan pelbagai kaedah jimat-kos. Pada masakini, perkhidmatan rel menggunakan bekalan elektrik daripada TNB. Ada kemungkinan besar, dimasadepan bila pengunaan rel bertambah, pengendali rel akan membina janakuasa elektrik mereka sendiri melalui teknologi solar.
Ketiga, rel mampu membawa lebih ramai penumpang sekaligus pada satu-satu masa. Tak perlu berebut atau berbaris panjang terlalu lama. Kekerapan rel bergerak pantas, mudah dan cepat dalam selang masa singkat. Memudahkan pergerakan untuk sampai ke tempat kerja dan pulang ke rumah tepat pada waktunya.
Buat masa ini, ambe cuma nampak, syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan rel perlu menambah ruang parkir. Dan menyediakan bas ulang-alik dari kawasan kediaman ke stesen rel lebih kerap dan lebih banyak. Tahniah dan syabas kepada usaha dan komitmen yang diberikan SPAD dalam memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang mudah diakses.