Isnin, 25 Ogos 2014

SEBAIK-BAIK POLITIKUS IALAH SEJAHAT-JAHAT JIN - BILA POLITIKUS LUPAI DARATAN.


Hari ini ambe sentuh pula kelompok Politikus Malaysia. Anda tentu sudah biasa mendengar sebuah hadis rasul yang lebih kurang sebutannya begini ' Sebaik-baik jin ialah sejahat-jahat manusia'. Dan kita ketahui bahawa Allah Hu Ta'ala menciptakan manusia dan jin untuk beribadat kepada Nya. Malah di dalam Al Quran Nur Kariim ada surah An-Naas (Surah Manusia) dan Surah Jin. Tiada di dalam Al Quran Nur Karim surah bernama Politikus. Tapi di Malaysia sejak 1989 lagi, kata-kata politikus itu lebih di percayai dari Al Quran Nur Kariim sehingga al Quran Nuur Kariim dibelakangkan dan diabaikan oleh Politikus. 

Didalam surah An Naas, Allah Hu Ta'ala memperingatkan kepada semua makhluk bahawa DIA-lah Penguasa manusia, DIA lah Raja manusia dan DIA-lah ILAH manusia.Tapi amalan politikus di Malaysia pada hari ini menyatakan sebaliknya pula. Waima mulut mereka berkata manis tapi hempedu mereka lebih pahit dari biasa.

Sejak 1989 -1999 dan 2000- 2014; kita melihat dan mendengar politikus Malaysia bila berkata-kata tiada satu pun kata-kata itu diamalkan mengikut al Quran Nur Kariim. Politikus Malaysia mempersoalkan dan mempertikaikan Hak Keistimewaan Melayu, Institusi Raja-raja Melayu, hukuman keatas murtadiin, mahukan kebebasan orientasi seks luar tabie', bertuhankan Kuasa Rakyat, mempermainkan kalimah ALLAH, mendewa-dewakan pemimpin dikalangan mereka dan menjual ayat-ayat al Quran Nur Kariim. 

Tiadalah kita melihat mana-mana politikus mahu mengikuti JALAN NAN LURUS di dalam Al Fatihah. Tiada mereka percaya bahawa al Quran Nur Kariim itu boleh membawa keselamatan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.. 

Politikus lebih mempercayai teori-teori politik di dalam Sains Politik berbanding al Quran Nuur Kariim. Politikus meletakkan kepercayaan dan amanah di bawah tapak kaki mereka. Politikus menafsirkan al Quran Nuur Kariim mengikut kehendak politik mereka.

Manusia diciptakan Allah Hu Ta'ala dengan sifat keluh kesah. Dan Politikuslah manusia yang paling keluh-kesah sejak 1989. Kini mereka menjadi lebih keluh kesah dari sekelian manusia yang ada di Malaysia. 

Politikus Malaysia menyatakan kepada semua bahawa mereka adalah Harapan Rakyat, merekalah yang membawa rahmat kepada rakyat dan merekalah yang membuka peluang-peluang rezeki yang ada. Mereka mendakwa mereka membela kebajikan dan menjamin keselamatan rakyat. 

Sejak 2004 sehingga kini , selama hampir sepuluh tahun, politikus Malaysia mencetuskan pelbagai isu-isu politikal sesama mereka sendiri. Merimaskan kehidupan rakyat. Membebankan rakyat dengan perlumbaan kuasa mereka. Menginjak-injak hak-hak peribumi sesuka hati mereka. Menjual aset dan kepentingan negara mengikut nafsu tamak mereka.

Politikus melupai asal-usul mereka dan daratan yang mereka tumpangi diatasnya. Politikus berjalan diatas mukabumi dengan angkuh, bongkak dan ingkar.Mereka mahukan DUNIA BARU, mengamalkan POLITIK BARU dan mahu menjadi MELAYU BARU yang membawa HARAPAN BARU. Mereka lupa yang setan juga BERSIFAT BAHARU.

Politikus Malaysia menjadikan setan-setan sebagai teman yang rapat dan lebih mempercayai setan yang dikenali dari malaikat yang tiada mereka kenal. Kerana itu Allah Hu Ta'ala menjadikan mereka memandang indah dan molek segala perbuatan kianat, curang dan jahat mereka. Akibatnya, Setan juga bersifat baharu gara-gara Politikus mengikuti kata-kata dan bisikan was-was setan, jin dan manusia hewani.

Mereka ajak rakyat berguling di atas jalanraya, berdemonstrasi melawan pemerintah dan menjadikan budaya fitnah adu-domba sebagai cara mempopularkan diri untuk mendapat undi. Mereka menghasut tanpa mempedulikan larangan dalam al Quran Nur Kariim.

Politikus juga enggan berdamai dan mengajak rakyat bermusuhan serta membenci sesama sendiri mengikut firqah-firqah politik mereka. Malah mereka juga turut memusuhi diantara satu sama lain. Dan mengheret rakyat dalam permusuhan mereka. 

Maka, kita selaku rakyat jelata hendaklah kita sentiasa berwaspada dengan tindak tanduk dan kata-kata politikus. Janganlah kita terpedaya dan terpukau dengan kata-kata mereka. Usah kita menyahut seruan mereka. Kita biarkan saja politikus menerima hukuman daripada Allah Hu Ta'ala diatas perbuatan-perbuatan dari tangan-tangan mereka sendiri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...