Jumaat, 5 Disember 2014

BAROMETER RASUAH 2014 TAHNIAH KEPADA PARTI POLOTIK MALAYSIA ANDA MENDAPAT TEMPAT.



KUALA LUMPUR – Parti politik kini diakui lebih banyak dicemari masalah rasuah kerana ramai ahli politik menggunakan kedudukan mereka untuk mengumpul kekayaan peribadi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada di kalangan ahli politik hari ini sanggup belanjakan wang yang banyak untuk dipilih memegang jawatan.

“Masa (zaman) saya (dahulu) pun ada juga rasuah. Kita tak boleh nafikan kewujudan rasuah di mana-mana, dalam kerajaan, sektor swasta. Tetapi parti politik kebelakangan ini makin korup kerana kepercayaan kalau jadi ahli politik (atau) dapat jadi pemimpin dalam parti politik, terutama parti yang berkuasa, ada peluang buat duit.

“(Mereka ini) bukan (sertai politik) pasal nak berjuang (tetapi) boleh dapat kontrak, boleh dapat macam-macam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, semalam.

Dr Mahathir mengulas laporan muka hadapan Sinar Harian semalam mengenai Indeks Persepsi Rasuah 2014 yang meletakkan parti politik sebagai institusi dianggap paling korup, diikuti dengan polis dan kakitangan kerajaan.

Diminta mengulas mengenai hakikat hampir tiada pendakwaan membabitkan kes rasuah dibuat ke atas ahli politik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dr Mahathir mengakui sukar untuk agensi itu mendapatkan bukti kukuh mengenai salah laku rasuah dalam kalangan orang politik.

“Memang susah sikit (SPRM nak dakwa) terutama kalau parti politik itu berkuasa. Nak dapatkan bukti yang boleh diterima mahkamah ini yang susah.

“Orang yang korup ini dia tak akan cerita. Orang (yang memberi suapan) pun tak akan cerita. Dia tak nak pergi mahkamah. Sebab itu susah nak dapat maklumat cukup untuk dakwa,” katanya.

Namun beliau menegaskan, apa yang lebih penting kini bukanlah menahan dan mendakwa individu yang  melakukan rasuah semata-mata tetapi cara untuk mencegah rasuah.

Menurutnya, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan rasuah, contohnya memendekkan tempoh memberi kelulusan dalam sesuatu projek selain memastikan proses itu jelas.

“Kalau proses ini mempercepatkan perkhidmatan kepada orang ramai, ia akan kurangkan rasuah. Dulu masa saya ambil alih jadi Perdana Menteri, bangunan tidak boleh dibina di Kuala Lumpur sebab permintaan tidak dilayan dengan cepat dan proses itu kadang-kadang mengambil masa sampai dua, tiga tahun.

“Jadi untuk percepatkan proses biasanya dihulur rasuah. Itulah yang jadi masalah. Tetapi kalau kita pendekkan masa itu dan lebih terbuka, saya fikir ia akan kurangkan rasuah.

"Sekarang ini banyak tumpuan kepada ambil tindakan terhadap orang yang terlibat rasuah tapi (usaha) tak ditumpu kepada pencegahan. Ia lebih penting,” katanya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...