Sekarang di Parlimen, sedang dibahaskan tiga R.U.U. (singkatan kepada Rang Undang-undang) berkenaan keselamatan awam dan negara. Tersohor ialah D.R.8/2013 Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan & Pemerluasan) 2013. Antara peruntukan yang hangat diperbahasakan ialah mengenai , penahanan selama tempoh 2 tahun tanpa bicara. Sesi petang tadi menyaksikan pertikaman lidah diantara mantan Menteri Dalam Negeri, Noh Omar, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Selangor dengan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang, Azmin Ali, Teresa Kok, Hanipa Moiden dan Sivarasia.
Antara hujah ahli-ahli Pembangkang, peruntukan tersebut adalah jelmaan semula I.S.A. Teresa Kok membantah atas alasan, peruntukan ketat sedemikian membuka peluang kepada amalan rasuah dengan 'bercerita' (tak tahulah betul ke tidak, tapi minah itu ada rekod buat cerita tak betul pasal tahanan kena bogel). Hujah yang paling menonjol daripada pihak pembangkang ialah peruntukan tersebut adalah jelmaan I.S.A. dalam bentuk lain. Noh Omar dengan tegas menjelaskan, I.S.A. sudah tiada. Kuasa eksekutif untuk menahan mana-mana orang tanpa bicara sudah dihapuskan. Peruntukan yang baru ditujukan kepada mana-mana penjenayah yang sukar dibawa ke muka pengadilan untuk diadili.
Selain hujah tersebut, pihak pembangkang mendakwa, peruntukkan itu menyalahi Piagam Hak Kebebasan Asasi Manusia. Dan, ada alternatif lain untuk mencegah jenayah selain memperuntukkan kuasa penahanan tanpa bicara. Namun, mereka tidak pernah memperincikan apakah alternatif-alternatif tersebut atau membentangkannya didalam Dewan Rakyat. Mereka cuma mencelah sambil menghentam saja untuk memburuk-burukkan BN dan Polis. Mereka lupa tanggungjawab dan amanah mereka kepada keselamatan awam dan negara untuk seketika. Kerana terlalu ghairah membuat persembahan-persembahan oratari memukau dan terpukau. Pertunjukan oratari menjadi fokus dan tumpuan mereka. Manakala, tanggungjawab bersama menjaga, memelihara dan melindungi nyawa dan hartabenda awam dilupakan terus oleh mereka. Apa yang penting? Persembahan Oratari Yang Memukau!
Sepatutnya, bila menyentuh mengenai perundangan berkaitan keselamatan awam dan negara, hak individu perlu digantung didalam keadaan tertentu. Ini kerana, keadilan perlu dilaksanakan segera dan mesti dilihat dilaksanakan. Dan keadilan sesuatu perundangan itu mesti dinilai dan ditimbangtara mengikut peruntukan didalam Perlembagaan dan bukan berdasarkan kepada diluar daripada itu. Tugas utama semua anggota Dewan Rakyat ialah membuat dan meluluskan perundangan yang berimbang dan berperikemanusiaan. Tetapi itu mestilah didalam ruang litup Perlembagaan itu sendiri. Sudah tentu bila kita menimbang kepentingan awam dengan kebebasan individu, kepentingan awam itu mengatasi kebebasan individu. Bukan bermakna menghapuskan kebebasan yang sediaada atau mengekangnya, tetapi kepentingan awam itu lebih utama.
Tujuan suatu perundangan ialah memastikan kebebasan individu itu selari dengan kepentingan awam dan negara. Agar kebebasan itu tidak disalahguna bagi tujuan mengancam keselamatan awam dan negara. Tidak bermanafaat, bila kebebasan individu itu mengatasi kepentingan awam dan negara. Kerana bila itu berlaku, tiada maknalah kebebasan itu sendiri. Kebebasan itu diberikan agar setiap individu hidup rukun damai dan boleh berfungsi sebagai satu unit kemasyarakatan yang matang. Bila individu mementingkan kebebasan dirinya sahaja, tanpa menghiraukan samada kebebasan itu telah mencerobohi pula kebebasan individu lain, ini akan menimbulkan ketegangan. Dan ketegangan selalu nya berakhir dengan keganasan. Salahguna seperti itulah yang perlu dikekang agar tiada pencerobohan berlaku akibat salahguna kebebasan itu sewenangnya oleh mana-mana individu untuk mencerobohi kebebasan individu lain.
Ini bukan lagi soal samada hendak berteori dan beridealis mengenai utopia sebuah masyarakat tanpa jenayah dan kejahatan. Benar, setiap manusia yang dilahirkan adalah insan baik. Hanya latarbelakang, didikan dan faktor-faktor tumbesaran yang akan membentuk akhlak dan jiwa seseorang , samada menjadi penjenayah atau seorang warga yang baik. Tetapi setiap manusia tidak dapat hidup keseorangan tanpa bermasyarakat. Hidup bermasyarakat dan bernegara menghendaki adanya peraturan-peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh setiap anggota masyarat, bagi memastikan kerukunan dan kedamaian dalam perhubungan. Pada zaman ini, memang sukarlah hendak mengawal mana-mana individu dari melakukan jenayah. Kerana kecenderungan melakukan jenayah adalah amat tinggi.
Ahli Parlimen pembangkang perlu hidup didalam realiti dan bukan fantasia bulan madu di Switzerland. Peruntukkan pencegahan melalui penahanan tanpa bicara bukan suatu yang luarbiasa atau suatu kezaliman yang lumrah diatas nama kepentingan awam. Ianya suatu keperluan bagi membanteras dan mencegah mana-mana individu melakukan jenayah terancang dan mengancam keselamatan awam. Suatu undang-undang pencegahan itu dibuat bagi menyukarkan kehidupan penjenayah dan bukan untuk membantu penjenayah membuat jenayah. Mana-mana individu yang bukan penjenayah tak perlu berasa takut dizalimi tanpa pembelaan dibawah peruntukan pencegahan sebegitu. Sama halnya dengan kawasan larangan merokok. Bagi perokok ianya menyusahkan tapi bagi bukan perokok, tidak wujud bagi mereka 'Kawasan Larangan Merokok'. Sememangnya, peraturan 'Kawasan Larangan Merokok' untuk menyusahkan perokok. Kerana perokok bila merokok, mana ambil peduli apakah kesan gangguan asap rokok dan bau busuk rokok itu kepada oranglain.
Samalah halnya dengan peruntukan pencegahan jenayah. Bagi penjenayah, ianya menyukarkan kehidupan mereka. Bagi mereka yang tak terlibat dengan kegiatan jenayah dan perlakuan jenayah, peruntukkan itu tidak terpakai keatas mereka. Dan ianya tidak menyusahkan kehidupan mereka pun. Seperti yang dikatakan diawal tadi, perundangan pencegahan bertujuan menyusahkan penjenayah melakukan kegiatan jenayah mereka. Bila penjenayah sukar melakukan jenayah, sudah tentulah mereka akan meninggalkan dunia jenayah, kerana tak berbaloi. Bila tiada perundangan yang ketat dan menyusahkan kehidupan penjenayah, sudah tentulah penjenayah merasakan mereka lebih tinggi daripada perundangan. Adakah itu kesemua ahli pembangkang mahukan? Menjadikan negara sebagai sebuah syurgawi bagi para penjenayah dari pelusuk ceruk dunia?