Sabtu, 6 Oktober 2012

KDN AKAN MENYIASAT DAKWAAN JMM KE ATAS SUARAM - HISHAMMUDDIN


PETALING JAYA, 5 Okt – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat dakwaan penjawat awam menerima wang sogokan daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebagai habuan kepada penyaluran maklumat rahsia negara.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemantauan yang berterusan akan dijalankan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Saya tidak boleh sahkan atau nafikan dakwaan itu tetapi kita akan pantau perkara-perkara yang sensitif melibatkan kepentingan negara sama ada maklumat, wang ringgit dan juga orang-orang luar,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Wanita di sebuah sekolah di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan akhbar oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah semalam yang mendakwa sejumlah RM100 juta dana asing dipercayai telah dibawa masuk sepanjang operasi Suaram di negara ini.

Wang tersebut juga dipercayai digunakan untuk merasuah beberapa kakitangan kerajaan dalam membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan sekutu Suaram serta mendapatkan maklumat dan rahsia kerajaan dalam negara.

Sementara itu, Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan isu majlis kenduri kahwin anak lelaki Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

“Saya nak ingatkan orang ramai kalau kita nak berpolitik pun ada had dan batasan dan jangan kita terikut-ikut amalan kebencian dan serangan peribadi sehingga kerja kahwin pun dipolitikkan,” katanya

“Esok saya akan jumpa Ali Rustam dan beritahu jangan kecewa kerana benda ini (sengaja ditimbulkan) kerana musim politik,” katanya.

dipetik dari umno-online.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...