Lakonan PAS, DAP dan PKR mengenai hudud semakin memualkan. Tidak ada apa di dalam lakonan ini selain dari skrip berbelit yang bermain dengan kata-kata. Sedangkan, umum sedia maklum bahawa hudud tetap tidak akan dilaksanakan sekiranya PR memerintah biar apapun perkataan yang PAS gunakan untuk menunjukkan kesungguhan mereka ingin melaksanakannya.
Walaupun PAS cuba mengheret UMNO dalam kemelut hudud antara mereka dengan DAP, tetapi akhirnya PAS terpaksa juga berhadapan dengan DAP apabila DAP berterusan menempelak PAS yang mungkir janji untuk tidak lagi menyebut tentang hudud.
Apapun, kata putus mengenai hudud pastinya terletak di tangan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai ‘bakal’ Perdana Menteri atau Presiden sekiranya PR memenangi PRU kali ini.
Hari ini, Ketua Pembangkang itu telah pun menegaskan bahawa hudud tiada dalam Buku Jingga iaitu dokumen dasar serta program jangka panjang PR sekiranya mereka memerintah negara nanti. Alasan Anwar lagi, hudud tidak akan dilaksanakan selagi tidak mendapat persetujuan DAP.
Apa yang kita tahu ialah DAP tidak akan sekali-kali bersetuju dan sanggup mati dari membiarkan hudud dilaksanakan, manakala PAS pula sanggup merelakan apa saja asalkan dapat sehidup semati dengan DAP.
Maka, kesimpulannya, hudud tidak akan sekali-kali dilaksanakan sekiranya PR memerintah. Noktah.
Justeru, eloklah Nasaruddin, Nik Abduh, Hadi Awang, Nik Aziz dan semua pemimpin dan penyokong PAS meletakkan senjata hudud mereka segera. Tak perlulah dibazirkan air-liur dan tak perlulah menghabiskan masa berdebat di dalam laman-laman sosial. Kata putus sudah pun nyata, hentikanlah lakonan yang sia-sia.
Drama yang meleret-leret amatlah menjengkelkan dan tidak mustahil jika drama ini tidak ditamatkan segera akan mengakibatkan semakin ramai yang meninggalkan PAS di saat-saat akhir sebelum pilihanraya.