Selasa, 18 Jun 2013

SPAD: Hanya Surcaj Dan Tiada Kenaikan Tambang. @SPADChannel




Kuala Lumpur, 18 Jun 2013- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D) memandang berat tindakan pengendali - pengendali bas ekspres yang enggan menjual tiket bagi musim perayaan akan datang. Pihak pengendali / operator bas ekspres tidak seharusnya mengambil kesempatan semasa musim perayaan ini untuk mendesak S.P.A.D menaikkan harga tiket sehingga 30 %. Permintaan ini agak mustahil ditunaikan sebelum hari raya kerana proses perundingan dan kajian komprehensif masih dijalankan. Namun demikian, S.P.A.D sentiasa prihatin dan sedia maklum di atas peningkatan kos operasi yang ditanggung oleh pengendali / operator.  

Sehubungan ini, S.P.A.D bersetuju supaya pengendali / operator mengenakan caj tambahan (surcaj) 10% bagi musim perayaan yang bakal menjelang nanti. Kelulusan mengenakan caj tambahan (surcaj) ini berkuatkuasa  bagi semua perjalanan  mulai 8 Julai sehingga 8 September 2013 untuk semua bas ekspres dan bas tambahan. Langkah ini dipercayai dapat membantu dan menampung kos pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna, terutamanya semasa musim perayaan.

Mengenai desakan PMBOA untuk menaikkan harga sehingga 30%, S.P.A.D kini dalam peringkat akhir kajian semula tambang bas ekspres. Kajian  semula tambang yang komprehensif ini dilakukan setelah mengambil kira kepentingan rakyat dan reaksi persatuan-persatuan pengguna serta kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh pengendali / operator bas ekspres. Keputusan mengenai kenaikan harga tiket ini akan diumumkan sebelum hujung tahun ini.

S.P.A.D juga ingin memberi amaran kepada semua pengendali/operator supaya tidak mengambil tindakan secara kartel untuk tidak menjual tiket, tindakan sedemikian salah disisi Akta Persaingan 2010 (Competition Act 2010). S.P.A.D tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dibawah syarat-syarat pelesenan dan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Malaysian Competition Commission)( MyCC). Dalam hal ini, S.P.A.D berharap agar semua pengendali / operator mematuhi semua syarat-syarat pelesenan dan menjual tiket seperti biasa supaya pengguna boleh merancang perjalanan mereka lebih awal.

Dengan itu, S.P.A.D percaya kebenaran kepada pengendali / operator mengenakan caj tambahan (surcaj) 10% pada musim perayaan dan hasil kajian semula tambang yang bakal diumumkan, ianya akan dapat mewujudkan situasi menang-menang dimana tambang baru tidak membebankan pengguna dan  membantu juga pihak pengendali / operator.

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...