Pemimpin Pakatan Rakyat benar-benar terkedu apabila ditempelak oleh Singapura agar jangan masuk campur dalam hal-ehwal negara itu. Singapura bertindak demikian apabila pemimpin PR, antaranya Nurul Izzah dan Teo Ni Ching, menghantar petisyen meminta kerajaan negara itu ‘berlembut’ terhadap 21 penyokong PR dari kaum Cina yang berdemonstrasi menentang keputusan PRU-13.
Nampaknya PR telah tersalah congak akan hubungan parti itu dengan Singapura. Hakikatnya, Singapura hanya berminat untuk ‘menguasai’ Malaysia, bukannya berkawan dengan pemimpin parti politik Malaysia termasuk pembangkang, walaupun negara itu begitu ‘mesra’ pembangkang sebelum ini.
Singapura terkenal dengan sikap ‘keras’ dan tidak bertolak ansur dengan sesiapa yang melanggar undang-undang. Jika tidak takkanlah negara itu dirujuk sebagai ‘Negara Denda’ (Fine City). Kerajaan Singapura sentiasa memastikan bahawa mereka tidak dipermainkan oleh rakyat, apatah lagi rakyat negara lain.
Maka jelaslah bahawa penyokong PR sememangnya terdiri dari manusia yang ‘kurang cerdik’ dengan sengaja mencari fasal di negara itu. Mungkinkah mereka menyangka, Singapura yang dikuasai Cina akan berlembut terhadap kaum Cina juga?
Sewajarnya, 21 penyokong PR yang terkinja-kinja berdemo di Singapura sambil menjerit-jerit sehingga kehabisan suara itu sedar apakah yang dipanggil ‘tiada kebebasan bersuara’ atau ‘tiada hak untuk ekspresi diri’ dengan sebenar-benarnya.
Ketika berada Malaysia mereka mempunyai hak untuk berbuat apa sahaja, termasuk menghamun Perdana Menteri secara konsisten dan giat sekali. Mereka diberi hak berhimpun dan menghina kerajaan semahu-mahunya. Malah, mereka juga boleh menyebar penipuan, menabur fitnah dan kebencian terhadap kerajaan tanpa diambil apa-apa tindakan. Di Malaysia jugalah mereka memperoleh kekayaan sehingga mampu mendabik dada sebagai pembayar cukai terbanyak.
Tetapi kini, mulut mereka ditutup oleh negara yang mereka jadikan idola sebagai terbuka dan lebih baik, iaitu Singapura. Semuanya hanyalah kerana mereka ‘berhimpun secara aman’. Ironi sekali kerana Singapura sebelum ini telah didapati ‘menghantar wakil’ dalam Himpunan BERSIH dan Lynas di negara ini.
Nampaknya, inilah yang pemimpin PR tidak faham, iaitu Singapura menyokong dan memberi bantuan kepada PR untuk membuat huru-hara di Malaysia sahaja, bukannya di negaranya. Tentu sekali, sokongan dan bantuan Singapura kepada PR itu ada sebabnya. Dan sebabnya itu pula bukanlah kerana ingin memastikan rakyat negara ini ada hak kebebasan bersuara ataupun sekadar ‘suka-suka ingin melihat jiran huru-hara’ .
Dari kesungguhan Singapura membantu Lim Kit Siang di Johor malah memberi berbagai bantuan kepada DAP termasuk dari segi kewangan, maka pastinya negara itu mempunyai sebab yang jauh lebih besar dari itu. Oleh itu, sebagai parti yang ingin sangat menjadi pemerintah di Malaysia, PR wajib mengetahui bahawa negara jiran itu tidak pernah melupakan cita-cita untuk menguasai negara ini.
Jika PR gagal memahami perkara ini maka jelaslah bahawa PR tidak layak untuk menjadi pemerintah kerana mana mungkin negara dibiarkan diperintah oleh parti yang tidak dapat membaca niat musuh yang ingin menjajah?
1 ulasan:
Baik zionist mahu pun negara jiran yg selama ini memberi bantuan kpd PR didalam bentuk sokongan media dan dana. Mereka hanya berminat utk memilki sebuah Malaysia dan bukannya kerusi DUN atau MP.
Dari situ jelaslah kepada kita semua bahawa parti pembangkang adalah pengkhianat negara yg pasti mengadaikan negara ini sekiranya mereka memenangi PRU13 yg lepas.
Catat Ulasan