Isnin, 18 Mac 2013

KISAH MENARIK PENDUDUK SEMASA PENGGANAS KIRAM DA TIRAM 50SEN BERTINDAK KEJAM.




Kassim tinggal dengan adiknya, Rasidah Ajirul, 42, yang lumpuh di Kampung Tanjung Batu sejak setahun lalu. Sejak melihat kelibat pengganas bersenjata berkeliaran di hadapan rumah, nyawa diserah sepenuhnya kepada Yang Maha Pencipta.

“Walau apa pun jadi, saya tak akan tinggalkan adik saya. Dia lumpuh. Saya tak boleh fikir nyawa saya seorang. Saya tekad, biar matipun kami tetap akan bersama.”

Itu luahan Kassim Ajirul, 65, apabila berjaya dibawa keluar dari tempat tinggalnya, selepas 12 hari serangan pengganas bersenjata yang mendakwa diri mereka tentera kesultanan Sulu.

“Saya tak berani bergerak. Pengganas bersenjata itu ada di bawah dan sekitar rumah.



“Rumah saya berlantaikan papan. Jika bergerak, pasti berbunyi. Mudah sangat mereka akan kesan kami. Berengsot sedikitpun saya sangat takut,” katanya menceritakan detik debar bersembunyi dalam rumah sendiri, kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, hidup mereka susah dan tiada kereta. Kalau mahu keluar dari kampung, dia perlu kendong adiknya bersama.

“Kaki adik saya lumpuh. Pergerakannya terbatas. Badan dia pula agak bersisi. Saya tidak berdaya mengangkatnya. Tapi saya juga tidak boleh tinggalkan dia.

“Selepas kejadian tembak dan ada dua polis mati itu, semua orang cuba selamatkan diri dan keluarga masing-masing. Tak kan nak tunggu kami. Kami ditinggalkan.

Jadi saya nekad dan buat keputusan walau apa terjadi, saya akan tetap bersama Rasidah,” katanya yang menghidap penyakit darah tinggi kronik.

Bekas tentera yang perkhidmatan terakhirnya lebih 20 tahun lalu di Pulau Pinang itu berkata, sepanjang 12 hari itu, mereka hanya makan bubur nasi sekali sehari sahaja bagi mengalas perut.

“Saya masak curi-curi. Mesti pastikan tiada bunyi, asap atau bau yang boleh buat musuh tahu. Sepanjang 12 hari itu masa kami lebih banyak dihabis bersembunyi dalam bilik adik saya itu.

“Kerana terlalu takut dengan kelibat pengganas, kami tidur di bawah lapisan tilam-tilam. Manalah tau tiba-tiba mereka masuk, setidaknya mereka tak nampak kami ada di dalam rumah.”

Bagaimanapun episod hitam Kassim dan adiknya itu berakhir apabila dia ternampak sepupunya yang dikenali Rahman secara kebetulan memasuki kampung berkenaan difahamkan bagi mengambil dokumen penting selepas 12 hari kejadian.

Seperti sinar baru hidupnya, dia memanggil Rahman. Rahman yang terkejut dengan panggilan itu terus menerpanya.

“Kata Rahman, kehilangan saya dan adik jadi bualan orang kampung sejak 1 Mac lalu.

“Apa boleh kami buat… kami tidak ada hala tuju. Kami juga tidak punya telefon untuk telefon sesiapa,” nada suara Kassim seperti mengeluh.

Lebih mengejutkan, Kassim juga langsung tidak mengetahui gugurnya dua wira negara sehinggalah ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara, Dewan Fajar Harapan, Lahad Datu.

“Ya ALLAH… aku bersyukur kepada MU. Sekali lagi engkau berikan peluang kepada aku dan adik untuk meneruskan kehidupan.”

Tiba-tiba ucapan itu keluar dari mulut Kassim. Butir jernih menitis. Segera dikesatnya.

Berkali-kali Kassim melahirkan rasa syukur dengan peluang kedua diberikan ALLAH kepadanya itu.

“Jika kami larikan diri, nasib kami belum diketahui. Mungkin ditangkap pengganas. Mungkin kami diapa-apan,” kata Kassim kembali meluah rasa hatinya.

Sementara itu, Sandhora, Kadre, 40, anak saudaranya yang mengaturkan pertemuan kami dengan Kassim berkata, sebaik mengetahui penemuan bapa saudaranya itu, dia terus ke rumah ustaz untuk mengadakan doa selamat.

“Itu respons spontan saya. Kami bersyukur sangat-sangat kerana sejak hari kejadian, kami terputus hubungan terus.

“Suami saya ada membuat pemeriksaan di beberapa kawasan termasuk hospital, tetapi usaha kami gagal menemui pak cik,” katanya. – Sinar Harian



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...