Jumaat, 22 Julai 2011

MALAYSIA BUKAN HAK PEMIMPIN PEMBANGKANG ! ARTIKEL MENARIK UNTUK DI BACA.

JS bertemu dengan sebuah artikel menarik yang di tulis di dalam UTUSAN MALAYSIA akhbar yang amat ditakuti dan digeruni oleh pihak pembangkang.

Artikel tersebut amat menarik dan di sini JS mengambil kebebasan memetiknya semula demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya agar dapat membacanya.





PETIKAN ARTIKEL DALAM UTUSAN MALAYSIA OLEH NOOR SULASTRY YURNI AHMAD (Pensyarah Kanan Sosiologi Politik Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya) -UTUSAN MALAYSIA 22 JULAI 2011.

Malaysia bukan 'hak milik' individu!

"KAMI akan tawan Putrajaya!", "Malaysia milik rakyat!" dan bermacam-macam lagi laungan serta pekikan yang kedengaran untuk menarik sokongan rakyat berpihak kepada kumpulan-kumpulan tertentu.

Perbincangan pada kali ini bukan sekadar menjurus mempersoalkan hak atau desakan sesetengah pihak yang mahu memiliki tampuk pemerintahan negara tetapi berkongsi penjelasan tentang kedudukan 'pemilikan' negara yang sepatutnya difahami semua pihak.

Malaysia merupakan sebuah aset yang paling berharga dan tidak boleh dimiliki dengan mengenakan bayaran tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi milik individu tertentu. Malaysia bukanlah 'barang' yang boleh diperdagangkan tetapi mempunyai nilai khazanah tidak ternilai yang terdiri daripada sekumpulan masyarakat yang bekerja keras dalam membentuk negara Malaysia seperti mana yang dapat dilihat pada hari ini.

Perebutan untuk mendapatkan Malaysia dalam arena politik terutamanya melalui sistem pilihan raya menonjolkan betapa rakusnya parti-parti politik berjuang atas pelbagai ideologi bagi meraih sokongan sehingga memperoleh kemenangan dalam pilihan raya tersebut.

Parti politik yang mendapatkan kemenangan dan membentuk sebuah kerajaan untuk memerintah harus mengambil kira konteks Malaysia dalam ruang lingkup yang lebih luas di mana pemilikan negara ini juga meliputi rakyat yang berlindung di dalam negara tersebut. Masyarakat tidak pernah terkecuali dalam proses ini kerana merekalah komuniti yang bertanggungjawab terhadap kemenangan itu.

Persoalannya, mengapa terdapat parti-parti politik tempatan yang sangat teruja dan rakus untuk menawan Putrajaya dan mahu mengekalkan kedudukan mereka di sana sedangkan pendekatan yang perlu diambil oleh parti politik ini adalah dengan bergerak secara agresif dan progresif dalam menambat hati penyokong dan bukan sahaja membuktikan bahawa mereka juga boleh menjadi pemerintah yang baik sekiranya Putrajaya menjadi milik mereka.

Contoh dan teladan yang baik dan efektif dari segi pengurusan pentadbiran dan politik perlu dibuktikan di setiap peringkat sama ada dalam kerajaan negeri, organisasi parti dan lain-lain.

Sebagai contoh, kerajaan negeri Kedah telah diminta supaya membenarkan premis hiburan untuk beroperasi pada bulan Ramadan adalah antara perkara yang signifikan dalam menjelaskan betapa serius dan tegas keputusan kerajaan negeri untuk menghadapi isu ini serta mengambil kira pandangan masyarakat di Kedah tentang perkara tersebut.

Khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 yang bakal menjelang sedikit sebanyak memberi impak terhadap keterujaan parti-parti politik untuk mengasah strategi yang lebih mantap, memperkasakan jentera parti serta memastikan tampuk pemerintahan politik tempatan bakal membawa perubahan pada masa akan datang. Seringkali kes-kes berkaitan dengan jatuh bangun sesebuah kepimpinan parti itu akan dituding kepada individu-individu tertentu.

Kelemahan sesebuah parti politik itu bukan sekadar memberi kesan kepada struktur parti tetapi turut mengharungi masalah sama adalah ahli parti politik tersebut. Lihat apa yang berlaku kepada kebanyakan negara Timur Tengah seperti Mesir, Syria, Iran dan lain-lain, Afghanistan, Pakistan, Afrika juga menerima impak daripada pemerintahan yang tidak stabil sehingga membawa kepada masalah kepada semua pihak terutamanya rakyat.

Lihat betapa gembiranya rakyat Sudan yang menantikan kemerdekaan negara mereka setelah sekian lama berjuang ke arah pembebasan dan kesejahteraan sejagat. Iktibar yang dapat diambil daripada peristiwa ini menjadikan masyarakat lebih matang, bersemangat kental dan lebih berdikari dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan.
Setidak-tidaknya, Malaysia sudah lama merdeka dan pada hari ini kelihatan seolah-olah kepimpinan politik terumbang-ambing mencari hala tuju dengan desakan bagi memenuhi permintaan di sekelilingnya. Isyarat ini sangat 'bahaya' jika berada dalam keadaan yang tidak dapat diperbaiki sehingga membawa kepada mana-mana parti politik itu kepada era 'kegelapan'.

Inilah yang sangat digeruni dan perlu dijauhkan supaya rakyat tidak lagi tertipu dengan janji-janji manis akibat kegelojohan pihak-pihak tertentu yang terlalu mendambakan kuasa untuk menjadi pemerintah sehingga sanggup menggelapkan mata dengan kuasa rakyat yang diberikan.

Niat perlulah diperbetulkan kerana kemenangan pasti akan berpihak kepada pihak yang menegakkan kebenaran tetapi bukan kepada yang sentiasa memesongkan perkara yang sebenar.

Dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang semakin mencabar dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam memastikan keadilan dan ketelusan dipelihara dalam proses pilihan raya, sudah semestinya kepercayaan daripada semua pihak perlu diberikan kepada suruhanjaya itu. Kerjasama SPR dengan parti politik yang bertanding dalam setiap pilihan raya akan menjanjikan kemenangan, keadilan dan ketelusan yang dituntut oleh semua pihak.
Walaupun BERSIH 2.0 mempertikaikan tentang pilihan raya yang adil, SPR sentiasa bersedia untuk membuka pintu kepada perbincangan. Tidak timbul lagi isu siapa benar dan siapa salah, sikap salah-menyalahkan satu sama lain perlu dihentikan dan tidak lagi dimomokkan dengan cerita dongeng yang sentiasa berusaha merencatkan perjalanan demokrasi negara.

Sekiranya keadilan, ketelusan, perjuangan hak asasi manusia yang dilaungkan atas nama demokrasi sebenar selama ini, memperbetulkan kiblat dan perjalanan masing-masing dan jangan terlalu asyik dibuai dengan kesalahan pihak lain yang tidak membawa kepada sesuatu yang pasti.

Bukan mudah hendak membeli nilai harga setiap pengundi itu kerana mereka tidak lagi boleh dirasuah, dimomokkan dengan mitos, ditipu sehinggalah dibutakan mata sekalipun mereka tetap tidak akan memilih parti yang hala tujunya songsang dan beranggapan bahawa Malaysia hanya milik sesebuah parti politik sahaja.

Malaysia adalah milik bersama yang diperolehi hasil daripada keringat perjuangan semua kaum membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah yang tamak dan akhirnya dinakhodai oleh barisan kepimpinan politik yang diamanahkan oleh rakyat bagi menjamin kesejahteraan bersama.

JS : MEMANG BENAR APA YANG DIKATAKAN OLEH PENULIS.

TEPUK DADA TANYA IMAN

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...