Sabtu, 12 April 2014

PEGUAM NEGARA PUN BOLEH DISAMAN DAN TAK DAPAT IMUNITI PENUH. INIKAN PULA KETUA PEMBANGKANG.


Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, kerajaan Malaysia dan 10 yang lain untuk membatalkan saman RM128.5 juta kerana pendakwaan secara salah yang difailkan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Ramli Yusuff.

Dengan keputusan ini, saman itu akan diteruskan untuk perbicaraan dan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan 18 Jun untuk pengurusan kes.

Ketika menolak permohonan mereka, Vazeer Alam memutuskan bahawa imuniti mutlak pendakwaan untuk penjawat awam tidak mempunyai tempat dalam masyarakat demokratik yang progresif.

"Saya khuatir tanggapan imuniti mutlak bagi penjawat awam walaupun apabila mala fide atau penyalahgunaan kuasa dalam menjalankan kuasa pendakwaan seperti yang didakwa di dalam permohonan, ia bercanggah mengikut tanggapan zaman moden mengenai akauntabiliti," kata beliau.

Vazeer Alam berkata beliau bersetuju bahawa penyalahgunaan kuasa oleh seseorang yang memegang jawatan awam adalah satu tindakan yang salah.

"Tindakan sedemikian boleh berlaku apabila seseorang pegawai digerakkan oleh niat jahat, sebagai contoh didorong oleh niat peribadi atau keinginan untuk merosakkan atas sebab-sebab yang tidak betul, menyalah guna kuasanya," kata Vazeer Alam.

Malah beliau berkata imuniti kehakiman yang diberi kepada hakim atau individu yang bertindak atas kapasiti kehakiman mengikut Seksyen 14 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada syarat berkelakuan baik ketika menjalankan kuasa kehakiman mereka.

Pada 1 Nov tahun lepas, Ramli memfailkan saman menamakan Abdul Gani, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai polis sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya beliau mendakwa defendan dengan niat jahat dan tanpa sebab munasabah menyiasat dan menuduhnya di mahkamah terhadap empat pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Rasuah dan satu pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.

sumber berita diciplak dari blog Semut Hitam. 
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...