Rabu, 11 September 2013

Wanita UMNO: Yang Mana Satu ? DiPilih Ahli Atau Kowtim ?


Ambe terbaca artikel mengenai khabar berkenaan Datuk Azalina Othman. Menurut khabar berkenaan, pada 20hb September ini, Datuk Azalina akan membuat satu keputusan. Sebelum ini, agak heboh diperkatakan mengenai kesudian beliau untuk masuk gelanggang. Datuk Azalina adalah bekas Ketua Puteri UMNO yang pertama. Sekarang ahli Parlimen dan merangkap ketua kaukus wanita Parlimen. 

Berdasarkan kepada maklumbalas daripada akar umbi, kesudian Datuk Azalina masuk gelanggang amatlah dialu-alukan. Ini bukanlah kerana Kak Ijat, Ketua Wanita UMNO yang ada, tidak popular atau gagal menerajui Wanita UMNO. Cuma, gaya kepimpinan beliau menjadi bahan peluru kepada pembangkang. Malah Kak Ijat sudah begitu sinonim dengan pelbagai panggilan-panggilan buruk dimata rakyat. Sehinggakan Wanita UMNO turut tercalar. Sikit sebanyak, akar umbi turut merasai bahangnya. Oleh itu, akar umbi berkehendak agar kepimpinan Wanita UMNO berubah tangan. Timbul satu persoalan, adakah kehendak akar-umbi itu selari dan direstui oleh kepimpinan tertinggi?

Dan harapan akar umbi agar peralihan yang berlaku tidak menjejaskan hubungan baik diantara kedua pemimpin tersebut. Kak Ijat pernah berkata bahawa, 'Kata-katanya adalah maruahnya'. Perkataan keramat ini keluar daripada mulutnya semasa beliau berhasrat untuk tidak bertanding Ketua Wanita UMNO yang dipegang oleh Rafidah Aziz. Akhirnya, beliau bertanding juga. Tapi tak apalah bak kata Fathul Bari 'Sudah Ketentuan Ilahi'. Apakah pula agaknya Ketentuan Illahi pada kali ini? Berlakukah Pertandingan atau Perkowtiman?

Ramai penasihat dan kepimpinan tertinggi yang berpendapat, Pertandingan dalam UMNO boleh menyebabkan retak belah dan perpecahan. Pada hemat ambe, akar umbi pun dah penat nak berpecah-belah dan semakin matang didalam berpolitik. Bila, akar umbi mahu satu perubahan didalam kepimpinan, maka biarlah perubahan itu berlaku. Tidakkah itu satu Ketentuan Illahi juga? Tapi, diharapkan janganlah Pertandingan bertukar menjadi Perkowtiman. Namun, jika berlaku juga, itu sudah Ketentuan Illahi. 

Pada masakini, Budaya Perkowtiman bukanlah satu budaya yang dialu-alukan oleh akar-umbi. Akar umbi mahu membuat pilihan sendiri yang tidak disertai 'Kowtim'. Ambe dapat merasai denyutan nadi akar umbi yang menolak 'Kowtim' tapi menerima pemilihan sihat. Kerana 'Kowtim' akan menyebabkan akar umbi hilang hormat kepada pemimpin yang dikowtim.

Mereka akan berpendapat, pemimpin 'Kowtim' bukan pilihan mereka. Tapi bila pemimpin itu dipilih secara demokratik oleh mereka, sudah tentulah mereka akan menghormati pemimpin kerana itu pilihan mereka. Mustahillah , mereka tak menghormati pilihan mereka sendiri. Pemilihan bukanlah berlaku secara rawak dan rambang mata, sebaliknya sudah tentulah akar umbi ada pertimbangan waras mereka sendiri. 

Mustahillah pada akal waras dan 'rasional' bahawa pemilihan mendatangkan kesan negatif. Sedangkan subsidi petrol pun, kerajaan sanggup ambil risiko, takkan dalam parti 'rasional' yang sama hilang terbungkam? Majoriti senyap dalam jumlah yang besar, benar-benar mengharap agar pemilihan berjalan dan bukan 'Kowtim' yang kedepan. Ramai akar umbi berdoa, agar Datuk Azalina diberikan peluang dipilih oleh ahli akar umbi. Malah ada akar umbi turut berdoa, agar Kak Ijat sudi menyerahkan 'kepimpinan' kepada Datuk Azalina. Bukankah, terlebih baik yang muda didahulukan dan yang tua memberi laluan? Lagipun kepimpinan adalah satu amanah yang diberikan oleh akar umbi dan bukannya sesuatu 'keistimewaan' yang dikowtim oleh kepimpinan tinggi. Kembalikan semula, amanah itu kepada yang telah memberikannya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...