Rabu, 11 September 2013

Bila Pemimpin Sudah Tak Kenali Mana Jauhari dan Mana Ma'nikam


"Hanya Jauhari Mengenal Ma'nikam", Orang Melayu dulu tinggalkan buat kita kata-kata pepatah sebagai panduan dan amalan. Cuma pada hari ini, keturunan baru tidak mengambil dan mengkaji 'Harta Intelek' bangsa sendiri yang amat bernilai dan berharga. Para pemimpin kita lebih mempercayai apa yang dikata oleh keturunan bangsa atas angin yang pernah menjajah dan menjarah khazanah negara. Itulah perkara yang perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Sebelum langkah menjadi panjang. 

Pada hari ini, pemimpin kita, tak kira dari mana parti politik, sudah tidak mengenal apa itu Jauhari dan apa itu Ma'nikam. Kerana itu mereka kurang 'Keyakinan Diri' di dalam memimpin rakyat jelata dan penyokong setia. Pemimpin kita juga sudah tak mampu nak khatam Muqaddam, dari Alif Baa Taa sampai Yaa. Bila sampai ke Yaa, mereka tidak mampu mengenali didalam Yaa ada Taa Yaa Dal Kaf. Tapi didalam Taa Yaa Dal Kaf tanpa Yaa tak menjadi perkataan. Tapi nak sampai ke Yaa perlulah belajar dan khatam apa itu Alif Baa Taa dulu. 



Pemimpin kita mudah leka dengan pujian dan sokongan melambung setinggi langit. Kesetiaan dan sokongan dinilai kepada maklumbalas apa yang diberi dan bukan apa yang telah dicapai. Kita tak menafikan, setiap pemimpin ada gaya tersendiri dan kepimpinan unik. Kita juga tidak menafikan apa sumbangan dan jasa pemimpin yang ada. Tapi hasil 'Produk Politikal' mereka tidak 'Berkualiti'. Bendanya ada, tapi manafaatnya tiada. Dan tak mampu diterjemahkan kedalam sokongan berbentuk undi dan penghormatan.

'Perjuangan' yang dibawa oleh para pemimpin lebih kepada angan-angan peribadi dan syok sendiri. Atau lebih tepat, merapu dan meraban matlamatnya. Dan Produk Politikal yang mereka janakan hanya memberi manafaat kepada kelompok mereka sendiri. Rakyat hanya mendapat 'Sorakan.. Hip..Hip..Horee'.  

Kerana itulah, pada hari ini , kita melihat dengan perasaan kesal didalam hati keadaan cacamarba politik dinegara yang tercinta ini. Namun kita tak perlu berputus asa dan merasa keciwa. Bila kita benar-benar yakin dan percaya berada diatas kebenaran, jangan takut dilambung ombak badai. Bagi menunjukkan kasih sayang kepada pemimpin, maka perlulah kita menegur mana yang patut. Bila kita tidak membuat sebarang teguran kerana 'Takut', itu bermakna , kita sudah tak kasihi pemimpin kita. Siapa lagi yang boleh mengasihi pemimpin dengan jujur tanpa ada balasan 'Nilai' sekeping kertas warna-warni melainkan kita, Rakyat Jelata. Nak harapkan kepada para perunding berbayar dan berkontrak, terpaksa lah kita makan roti Jala berkuah kari sambil tunggu apakah Ong yang mari.


Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...