Perutusan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1433 Hijrah
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,Saudara dan saudari sekalian,الله اكبر الله اكبر الله اكبر ولله الحمد1. Marilah kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas taufik dan inayahNya dapat kita meraikan Hari Raya AidilAdha pada tahun ini dalam keadaan makmur, sejahtera dan penuh keberkatan.
2. Hari Raya AidilAdha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji kerana diperintahkan juga di dalam bulan mulia tersebut bagi umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan ibadat Haji ke Baitullah. Ibadah haji yang dilaksanakan pada setiap tahun ini membawa bersamanya seribu satu pengajaran dan pendidikan dalam kehidupan sejagat.
3. Menelusuri sirah ibadah haji yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu, telah terpatrinya satu perjanjian yang dikenali Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad SAW dengan puak Kafir Quraisy di Kota Mekah. Hasil daripada perjanjian tersebut, umat Islam dapat mengerjakan haji pada tahun yang berikutnya. Iktibarnya, kita telah mengambil pendekatan yang sama dengan berperanan menjayakan pelan damai antara pihak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina baru-baru ini.
4. Pengorbanan Kerajaan Malaysia yang sanggup bertindak sebagai mediator bagi mengakhiri konflik berdarah lebih 40 tahun antara Manila dan Bangsamoro ini pastinya adalah satu pengorbanan yang amat membanggakan. Komitmen jitu kita dalam membantu menyelesaikan pelbagai konflik yang berlaku di sesebuah Negara menyebabkan kita diiktiraf oleh dunia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik. Ini terbukti dengan pengiktirafan ulama yang terkemuka dunia iaitu Sheikh Yusuf Al-Qardhawi yang telah melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap usaha Malaysia yang konsisten menyokong dan membantu perjuangan rakyat Palestin selama ini.
5. Sesungguhnya konsep pengorbanan yang dituntut oleh Islam di mana kita sentiasa sanggup berkorban masa dan wang ringgit, berkorban jiwa raga, tenaga fikiran,perasaan, mengorbankan kepentingan diri bagi memperolehi keredhaan Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud :“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.”
6. Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar Jemaah Haji kita di Kota Suci Mekah dapat menjalankan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur serta kembali ke Tanah Air dengan selamat.
7. Saya dan seisi keluarga merakamkan ucapan Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua umat Islam Malaysia dan di mana jua mereka berada. Semoga AidilAdha tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya dan AidilAdha yang akan datang akan menjadi lebih baik daripada tahun ini. Insya Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan