Ahad, 21 Oktober 2012

MUFTI PERAK & A KADIR JASIN BERI NASIHAT KEPADA SEMUA PENGAMAL MEDIA.

image 
Seorang Mufti dan seorang Lagi Otai Wartawan.

Semasa Pakatam gunakan media internet dan media sosial sebagai bahan penyebaran propaganda memburukan UMNO/ BN, keduanya masa itu masih belum menyedari bahayanya. Tapi apabila pengamal bebas media internet seperti Hamba mula menyerang balas dan cacaimarba pakatam mula gagal mengatasi serangan-serangan balas yang dilakukan barulah tiba-tiba datanglah ilham pujangga dari langit untuk memberikan nasihat dan pandangan. Namun begitu kita hormati keduanya walaupun kita sedar A Kadir Jasin sebagai wartawan pun banyak menulis perkara-perkara yang agak keterlaluan tetapi kerana statusnya maka perkara itu di pandang masih beretika dalam bidang kewartawanan. Sebenarnya, sebelum wujud kumpulan seperti Hamba ini, wartawan merupakan bahan terlaris di pasaran kerana menjadi perebutan para politikus. Kini pasaran tersebut telah beralih arah kepada kumpulan seperti Hamba. Cuma Hamba tak mencari makan seperti itu. Hamba menulis berdasarkan kepada ilmu yang Hamba belajar dari menara gading, pergaulan seharian hamba dengan orang-orang baik dan pengalaman melalui pembacaan. 

Salah satu buku tulisan A Kadir Jasin 

Mula-mula kita baca dan fahami dahulu pendapat A Kadir Jasin (di petik dari blog GAP yang telah membuang pautan blog ini kerana tidak puashati di tegur dan dikritik oleh pemilik blog ini walaupun Hamba tidak membuang pautan blognya mungkin nasihat A Kadir Jasin ini sesuai untuk beliau) sumber asalnya ialah lapuran daripada AGENDAILY-
Unsur anarki dalam media terutama berasaskan Internet di Malaysia dijangka akan menjadi lebih buruk melalui perang siber menjelang pilihan raya umum.Ia dikhuatiri mengakibatkan pengundi membuat pilihan kerana kekeliruan dan bukan kefahaman, kataTokoh Wartawan Negara Datuk A.Kadir Jasin.
Semasa berkongsi pemerhatian itu dalam wacana "Komunikasi Massa: Antara Demokrasi dan Anarki" di Petaling Jaya. Khamis beliau berkata anarki dalam media digital secara terang-terangan memutar-belitkan fakta dan dalam masa yang sama tidak menghormati hak menjawab (mereka yang dilibatkan).
Katanya unsur anarki dalam media berlaku apabila mereka yang tidak terlatih dalam selok belok kewartawanan, tidak arif mengenai undang-undang berkaitan dan etika kewartawanan serta mentakrifkan kebebasan secara literal, telah melantik diri menjadi 'wartawan'.
"Boleh dijangkakan perang siber ini mungkin memburukkan unsur anarki ini yang akan berlaku dengan lebih hebat dalam masa yang singkat apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan tarikh PRU (pilihan raya umum) ditentukan. "Ini situasi yang perlu diperhatikan oleh pengkaji-pengkaji media, PRU akan datang banyak bukan ditentukan oleh kefahaman, tetapi kekeliruan.
"Ini kemungkinan yang sangat berbahaya apabila orang yang akan keluar mengundi, tidak keluar mengundi atau merosakkan undi kerana kekeliruan," kata Kadir.
Kadir yang juga blogger 'The Scribe A Kadir Jasin' berkata pengendali blog tidak harus menyiarkan komen-komen yang memihak kepada mereka sahaja.
Bernama melaporkan beliau berkata kewartawanan warga di alam siber kini juga sudah dicemari oleh orang politik dan kapitalis.
Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, laman-laman blog terang-terangan dimiliki, diilhamkan dan dibiayai parti-parti politik, dan sekaligus memberi gambaran bahawa medium Internet itu diakui berkesan dan mempunyai peluang ekonomi dalam kegiatan itu.
"Dulu tidak ada blogger upahan, sekarang banyak blog yang sudah tidak berkecuali. Dulu nampak anti-establishment atau tidak menyokong pihak berkuasa, hari ini tidak lagi bersikap demikian," katanya.
Kadir ketika menyimpulkan wacananya berkata anarki siber sudah menjadi sebahagian landskap komunikasi massa malah merumitkan industri itu sendiri.

"Hari ini seorang programmer mencipta satu program yang dihakmilikkan, sebaik sahaja disebarkan atau dilancarkan akan ada beratus-ratus atau beribu-ribu orang yang cuba memecahkannya, mereka (ini) juga adalah anarkis alam siber," katanya.
Beliau juga menyimpulkan bahawa ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi memberi kesan dalam pendemokrasian maklumat selain memecahkan monopoli media tradisional dan media arus perdana ke atas maklumat dan pendakyahan (propaganda).
"ICT sudah mula melahirkan generasi tanpa sempadan, tanpa wajah dan terdedah kepada penerimaan berita 'hearsay' atau cakap mulut. Bagi saya ia membimbangkan akibat ketidakcekapan dan ketidak bertanggungjawaban pengguna dan pemilik teknologi," katanya.
Kadir yang ditanya mengenai cadangan penubuhan Majlis Media Sosial, berkata beliau tidak menentang penubuhan majlis itu. "Tubuhlah, kalau hendak buat, saya tidak bangkang. (Tapi jika) hendak kawal media Internet, hampir mustahil sebab 
sampai sekarang tidak boleh kesan semua pemilik blog, tutup hari ini, esok (timbul) yang baharu," katanya.
Ketika ditemui pemberita selepas wacana itu, Kadir menggesa wartawan supaya memainkan peranan mereka dalam usaha mencegah penyebaran unsur anarki dalam media.
"Wartawan perlu selalu mengingatkan diri agar menulis berdasarkan fakta, selalu membuat kajian dengan banyak membaca dan tidak terlalu bergantung pada kenyataan akhbar dan teks ucapan semata-mata,"katanya.
Katanya wartawan kini lebih seharusnya jauh lebih berpengetahuan dan bijak menggunakan maklumat yang terdapat dalam Internet untuk memberikan artikel yang bermaklumat tepat kepada khalayak.
Kadir yang terkenal dengan gelaran tukang cerita serba boleh, mula melibatkan diri dalam dunia kewartawanan sebagai pemberita kadet di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada tahun 1969.
Setelah itu, beliau berhijrah ke Business Times untuk menceburi bidang kewartawanan ekonomi dari tahun 1976 hingga 1984, dan pernah memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times.
Beliau juga pernah dilantik ke jawatan penolong pengarang kumpulan Berita Harian dan seterusnya pengarang kumpulan itu pada tahun 1986.
Pada tahun 1988, selama 10 tahun, Kadir dilantik sebagai Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan seterusnya Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Berhad dari tahun 1998 hingga 2000.
Kadir kemudian menerajui syarikatnya sendiri yang terlibat dalam penerbitan beberapa majalah.AGENDADAILY
Berikut pula ialah pendapat Mufti Perak Datuk Harussani di petik daripada blog lain pula:-

PELIHARA AIB ORANG LAIN.
SEJENAK merenung di dada akhbar mahupun coretan di laman sesawang, membuatkan saya beristighfar panjang bila menyelusuri bahan berita, coretan mahupun komentar dari pihak yang rata-ratanya agak kritis dan kadangkala memualkan.
Setiap bahan berita, coretan dan komentar lebih banyak menyentuh hal-hal bersangkutan diri seseorang yang bukan sahaja boleh menjatuhkan maruahnya, malah lebih dari itu sehingga menghinakan diri dan keluarganya. Adakalanya komentar dan catatan yang dipaparkan sarat dengan fitnah, umpatan dan cacian daripada sesuatu pernyataan yang membina.
Saya menyedari hakikat umat Melayu ini yang pandai berbahasa dan berkias, namun sejak mutakhir ini gaya bahasanya sudah tidak berlapik dan beralas lantas menerjah maruah diri seseorang sehingga menusuk ke tulang putihnya. Malah, bukan sekadar menerusi penulisan, pelbagai medium digunakan termasuklah menggunakan kehebatan berkata-kata, berpidato dan berjenaka bagi menyampaikan hasrat menjatuhkan maruah dan membuka keaiban orang lain.
Apakah kita sudah lupa pesanan agung Rasullullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Al Imam Ahmad dari Anas Ibnu Malik r.a, bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak lurus hatinya, hingga lurus pula lidahnya.
Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”Anggota lidah seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Al-Ghazali adalah antara sebesar nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan lidah kita berzikir, tilawah Al-Quran dan berkata-kata dengan perkataan yang baik.
Menerusi lidah juga dakwah Islam disebar siarkan di serata alam, dengannya juga terlaksana proses saling ingat-mengingati antara satu sama lain supaya hati sentiasa dekat dengan Allah dan Rasul-Nya. Namun sebesar nikmat itu, maka besar juga tanggungjawab untuk menjaganya. Dengan lidah jugalah manusia boleh terjerumus ke dalam kehancuran, malah boleh mengundang ke lembah neraka Allah SWT.
Hal ini mengingatkan saya bahawa Al Marhum Said Hawwa pernah menyatakan besarnya bahaya lidah hingga tiada siapa yang mampu selamat darinya kecuali dengan diam. Bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Imam Al Bukhari dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari qiamat, maka berkatalah yang baik atau pun berdiam saja.”
Teringat saya bagaimana sejarah menaqalkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a pernah satu ketika meletakkan batu kerikil di mulutnya, semata-mata mencegah dirinya dari berbicara. Lalu ditanya mengapa beliau berkelakuan begitu, ia menunjukkan kepada lidahnya seraya berkata, “Inilah yang menjerumuskan aku ke dalam kehancuran.”
Al Imam Al Bukhari meriwayatkan dari Sahl bin Sa‘ad bahwa Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara janggutnya dan dua pahanya maka aku menjamin untuknya syurga.”
Dalam hal ini juga, apakah umat Melayu sudah lupa pepatah yang berbunyi “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”
BAHAYA FITNAH
Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai manual yang memandu hidup manusia telah mencatatkan bahawa di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengumpat setengah yang yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.”
Imam Al-Qurtubi ketika membahaskan ayat di atas menukilkan sebuah hadis tentang erti ghibah (mengumpat) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Mengumpat itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan suatu yang di bencinya.”
Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dari Al-Barra beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami hingga terdengar oleh kaum wanita di rumah-rumah mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak beriman dengan hatinya, janganlah kalian mengumpat orang-orang muslim dan mencari keaibannya.
Sesungguhnya orang yang mencari-cari keaiban saudaranya, maka Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang keaibannya di cari-cari Allah, maka pasti Allah akan membongkarnya di tengah rumahnya.” Biarpun sekian banyaknya peringatan al-Quran dan hadis tentang telatah buruk ini, namun umat ini seakan-akan tidak pernah mendengar dan mengambil tahu.
Bayangkan apa akan terjadi sekiranya masyarakat kita dipenuhi dengan tingkahlaku yang “jelek” ini, dipenuhi saban hari dengan sikap fitnah memfitnah dan mencerca sesama kita.
Hanya ilmu dan penghayatannya sahaja mampu mengekang penularan sikap keji ini sepert imana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abu Umamah dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan muncul berbagai fitnah, di pagi hari seseorang dalam keadaan mukmin lalu kafir di petang harinya, kecuali orang yang dihidupkan Allah dengan ilmu.”
TENTANG KEBURUKAN ORANG LAIN
Seringkali kita mendengar pihak-pihak beralasan dengan menyatakan “Saya tidak mengumpat atau memfitnahnya, saya berkata yang benar! Saya punya bukti itu dan ini!. Pernyataan yang seolah-olah ingin menghalalkan perbuatan mereka.
Al Marhum Sa‘id Hawa menyebutkan bahawa Al-Hassan berkata yang bermaksud, “Mengatakan tentang hal orang lain itu terbahagi kepada tiga:
(1) Ghibah: Iaitu kamu menyatakan apa yang ada pada dirinya;
(2) Buhtan: Iaitu kamu menyatakan apa yang tiada pada dirinya;
(3) Ifkun: Iaitu kamu menyatakan apa yang kamu dengar tentang dirinya.”
Biar dalam situasi apapun, menyembunyikan kelemahan dan keaiban seseorang adalah lebih utama dari menzahirkannya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “ Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah taala akan menutup keaibaannya di dunia dan di akhirat.
Dan Allah SWT sentiasa menolong seseorang hamba, selama dia menolong hambanya.” Walau bagaimanapun, Imam Al Ghazali menyebut bahawa menyatakan keburukan seseorang dibenarkan di dalam beberapa keadaan yang diperlukan sahaja dengan syarat yang tertentu.
Antaranya seperti aduan seorang yang dizalimi oleh seorang yang lain kepada seorang hakim, meminta suatu hukum dalam satu perbuatan atau perkara, berniat untuk memberi peringatan kepada masyarakat atas seseorang yang terang-terangan dan bermegah-megah dengan melakukan maksiat dan beberapa perkara lain.
POLITIK, UMPAT DAN FITNAH
Akhir-akhir ini, politik, umpat dan fitnah seolah-olah suatu perkataan yang tidak mungkin dipisahkan. Baik pihak manapun, ia seolah-olah dibolehkan dengan beralaskan hujah-hujah yang tertentu. Segala keburukan pihak lawan didedahkan untuk pengetahuan umum.
Lebih mendukacitakan, saya melihat medium penting bagi membincangkan isu dan kebajikan rakyat seperti sidang Dewan Rakyat dan sidang DUN hari ini sudah menjadi medan umpatan, tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah berkait dengan isu-isu peribadi.
Apakah kita tidak menyedari betapa terlalu banyak masa dan ruang telah kita habiskan bagi memenuhi selera buruk ini, sedangkan di hadapan kita terlalu banyak isu dan perkara yang perlu dilangsaikan.
Apabila ini terjadi, fokus utama ke arah mengutamakan kepentingan rakyat terpaksa dikesampingkan bagi memberi ruang menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.
LEDAKAN ICT
Ledakan sumber maklumat pada abad ke-21 ini menyaksikan era baru dunia maklumat. Menerusi e-mel, SMS, blog, facebook, twitter dan sekarang era wikileaks, maklumat disampaikan dengan begitu mudah dan pantas. Kebebasan bersuara dalam menyampaikan kritikan, penyebaran maklumat kontroversi mahupun khabar-khabar angin menjadikan dunia maklumat ICT berjaya menarik jutaan penggemar.
Menurut sumber Internet World Stats  menyatakan bahawa pengguna Internet hari ini sudah mencapai 1.9 billion dan Asia sahaja mencapai 110 juta pengguna. Klik disini  untuk maklumat terbaru pengguna internet dunia pada masa sekarang. Manakala pengguna facebook di Asia sudah mencapai 93.5 juta. Namun apa yang merisaukan saya hari ini, kecanggihan memindah maklumat hari ini telah dicemari dengan medan menabur fitnah dan umpatan.
Adakah ini termasuk dalam apa yang kita bincangkan di atas. Imam Al-Ghazali menyatakan mengumpat itu sebenarnya bukanlah semata-mata dengan lidah, namun merangkumi isyarat-isyarat dan tulisan.
Tidak keberatan saya katakan bahawa penggunaan medium ini bukan lagi semata-mata menyebarkan berita mahupun maklumat yang bermanfaat, tetapi terselit agenda-agenda tersembunyi yang didokongi oleh mereka yang punya niat untuk membobrokkan orang lain.
Jika amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan ia ke dalam neraka.”
Baiklah para pembaca sekelian begitulah pendapat daripada dua orang yang mempunyai latarbelakang berbeza mengenai amalan-amalan di media sosial pada hari ini.  

Maka pergunakanlah akal untuk menimbangtara kedua pendapat tersebut bagi manafaat diri sendiri dan bagi manafaat orang lain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa