terus dari akaun mukabuku Pak Ibrahim Ali, sendiri baca dan nilaikan dengan baik-baik betul juga kenapa BB Plaza nak dirobohkan sedangkan PRU 13 sudah semakin hampir nie :-
Kaji semula keputusan roboh BB Plaza
KUALA LUMPUR 27 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta pihak berwajib mengkaji semula keputusan merobohkan Plaza Bukit Bintang (BB Plaza).
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana ia merupakan lokasi terakhir bagi peniaga-peniaga Melayu menjalankan perniagaan di kawasan Bukit Bintang yang merupakan kawasan strategik.
"Saya mempersoalkan mana agenda serius dalam menambahkan pemilikan orang Melayu di bandar-bandar?
"BB Plaza dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek MyRapid Transit (MRT). Kalau milik orang Melayu sahaja dengan mudah dirobohkan tanpa mencari alternatif lain. Kalau begini, bilakah pemilikan orang Melayu dan bumiputera akan bertambah di bandar-bandar?" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas keputusan pihak berwajib merobohkan BB Plaza milik UDA Holdings Bhd. (UDA) bagi memberi laluan kepada pembinaan MRT.
Meskipun ditentang banyak pihak, BB Plaza tetap akan dirobohkan pada Februari tahun depan.
Menurut Ibrahim, beliau sedih melihat bangunan milik kaum lain terus bertambah di bandar, namun premis milik orang Melayu pula semakin 'dimusnah dan dirompak' pihak berkuasa dalam kalangan kaum itu sendiri.
Beliau turut membuat perbandingan dengan polemik sama di Jalan Petaling melibatkan peniaga kaum lain yang berjaya diselesaikan melalui sikap bertolak- ansur.
"Jadi, kenapa hak orang Melayu sahaja yang diroboh? Adakah Melayu kaum yang mudah dipijak-pijak? Saya faham keperluan membina MRT, tapi fikirlah, mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih.
"Kalau ada pilihan lain, gunakannya, jangan sentuh hak Melayu ini. Saya dapat banyak luahan simpati daripada ramai orang Melayu yang berasa tertindas dengan rancangan merobohkan bangunan itu," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa