KENYATAAN 'panas' Menteri Dalam Negeri baharu bagaikan tamparan padu ke muka kumpulan 'puak pemberontak' di negara ini yang mahu mengambil alih pentadbiran negara tanpa mengira kesannya jika berlaku perpecahan kaum mahupun perpecahan orang Melayu sendiri.
Seperti cacing kepanasan, taktik memancing simpati rakyat dirancakkan untuk menunjukkan pihak berkuasa semakin zalim terhadap mereka yang 'memperjuangkan rakyat' melalui media sosial dan blog, seterusnya menyemarakkan lagi kebencian terhadap kerajaan.
Sudah sampai masanya pasukan menteri dan kepimpinan baharu Polis Diraja Malaysia menamatkan dasar berlembut yang diamalkan sejak lima tahun lalu dan mengembalikan ketegasan serta imej 'berani' kepada pasukan beruniform negara.
Walaupun rakyat khususnya majoriti Melayu dan bumiputera berterusan menyokong Barisan Nasional (BN), ramai yang memendam rasa kecewa apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, sementara pelbagai demonstrasi dan rusuhan cuma dibalas 'amaran' serta kenduri makan untuk peserta rusuhan.
Rakyat kini mahukan ketegasan dalam pelaksanaan dasar keselamatan dan ketenteraman awam terutama sekali apabila ada gerakan 'Malaysia spring' untuk menggunakan kekerasan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan telah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Perlu dilaksanakan semua undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 yang setakat ini tidak nampak impaknya, agar pesalah dilayan sebagai penjenayah dan rakyat tidak lagi dibelenggu provokasi melampau politik jalanan.
Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohd. Jamil Mohd. Hassan berharap selepas ini tiada lagi 'nasihat' atau amaran kerana sudah sampai masanya untuk penguatkuasaan undang-undang.
"Kita ada undang-undang dan cukup difahami semua peringkat. Masanya sudah tiba, jangan lagi dibazirkan masa dengan menerima 'kecelakaan-kecelakaan' yang dilakukan mereka yang sengaja mempermainkan undang-undang negara kita.
"Dengan 'orang baharu' yang mengambil alih, kita berharap tiada lagi tolak ansur dan amaran tetapi tindakan tegas terhadap orang-orang yang sentiasa kacau keselesaan rakyat," tegasnya.
Beliau bersimpati melihat rakyat khususnya yang mencari rezeki harian terjejas secara langsung akibat perbuatan musibah segelintir manusia yang mempunyai agenda peribadi itu.
Tambahnya, pemansuhan ISA sebelum ini ada baik buruknya, dan walaupun ada yang mahu akta itu dikembalikan tetapi ia tidak perlu dibangkitkan lagi kerana semuanya sudah berlalu.
"Kita masih mempunyai undang-undang lain yang cukup untuk menghadapi pelbagai situasi, asalkan dilaksanakan sebaik-baiknya dan akan berkesan jika tindakan tegas diambil, bukannya berlemah lembut (dengan penjenayah)," katanya.
Menurut beliau, mereka yang membuat kesalahan dan perlu ditangkap, tangkaplah, seterusnya segera serah kepada pihak mahkamah jika cukup buktinya.
Beliau khuatir jika diteruskan berlembut dan menangguh tindakan tegas, maka akhirnya tiada kesan, khususnya apabila golongan terbabit semakin 'naik minyak' daripada mahukan pilihan raya bersih kepada mahu menggulingkan kerajaan.
"Niat buruk mahu guling kerajaan (gunakan keganasan) ini dapat dielak jika ketegasan sedia wujud dalam pelaksanaan undang-undang sepanjang masa.
"Jika tegas, tidak akan dapat guling (dengan kekerasan) dan tiada sambutan. Tegas juga bukan makna bertindak kejam tetapi tindakan pantas mengikut kuasa peruntukan undang-undang sedia ada," jelasnya.
Mohd. Jamil turut menempelak pihak yang cuba meracun minda rakyat dengan persepsi serong kononnya pihak berkuasa mahu 'tangkap dan seksa' mereka yang terlibat, sebaliknya hanya mereka yang melakukan kesalahan akan ditahan.
Menurutnya lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis, mahkamah, tentera dan agensi kerajaan lain perlu bekerjasama dan bersatu demi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.
"Walaupun polis penguat kuasa utama untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan, semua pihak berwajib juga perlu bertindak tegas mengikut peruntukan kuasa perundangan masing-masing.
"Mereka kata pihak berkuasa mahu guna kekerasan berlebihan, ini tidak wujud pun tetapi hanya mainan persepsi. Kita cuma tidak mahu ada yang cedera, apatah lagi maut kerana perbuatan segelintir manusia ini," ujarnya.
Bagi pemerhati antarabangsa dan keselamatan, Mohamad Faisol Keling pula, pelantikan Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengetuai KDN akan meningkatkan keberkesan kementerian tersebut khususnya mengambil kira pengalaman beliau selaku Menteri Pertahanan sebelum ini.
"Pengalaman Ahmad Zahid menguruskan angkatan tentera akan mendorong keutamaan diberi kepada keselamatan dan ketenteraman rakyat dan KDN akan lebih berkesan dalam melaksanakan dasar-dasar kedaulatan perundangan.
"Namun, KDN kini perlu beri penegasan keamanan secara komprehensif di dua peringkat iaitu di bandar dan juga luar bandar. Ini akan menyuntik keyakinan rakyat terhadap keamanan negara dan kedaulatan undang-undang," kata pensyarah Universiti Utara Malaysia itu.
Tambahnya lagi, suntikan keyakinan kepada rakyat akan membawa kepada pembangunan politik, ekonomi dan sistem sosial yang lebih stabil untuk kemakmuran negara kelak.
Beliau turut menegaskan tindakan pihak berkuasa melaksanakan undang-undang bukannya satu usaha menyekat kebebasan sebaliknya menetapkan satu tanda aras maksimum kesempurnaan hidup.
"Pelaksanaan undang-undang itu asas untuk masyarakat, organisasi mahupun negara mempunyai sebuah kehidupan teratur, maka agensi dan badan kerajaan terbabit perlu beri penegasan dalam aspek kedaulatan undang-undang.
"Undang-undang juga dapat mengawal akhlak masyarakat agar lebih beretika dan membentuk perilaku serta kehidupan lebih bertata susila. Kalau ada sistem perundangan tetapi tidak dilaksanakan, maka akan runtuhlah masyarakat dan negara itu sendiri," ujarnya.
Mengambil contoh kecenderungan sesetengah pihak di negara ini mengadakan demonstrasi, beliau menegaskan tidak salah melakukan bantahan selagi tidak melanggar undang-undang sedia ada mahupun mengancam keselamatan awam.
Mohamad Faisol turut mempersoalkan gerakan tersebut yang jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara tetapi menuduh pihak berkuasa kejam pula apabila tindakan perlu dilaksanakan.
"Kalau berani buat, kena berani tanggung akibatnya. Bukan dihalang pun nak demonstrasi tetapi kenalah ikut batas-batas perundangan, Islam pun pentingkan undang-undang sebagai garis panduan - jangan fitnah, umpat dan buat perkara yang dilarang.
"Isu kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa pemimpin mereka sendiri menerimanya (malah sudah angkat sumpah), negara luar pun iktiraf. Jika tetap mahu gulingkan kerajaan yang dipilih secara sah, bersedialah terima akibatnya," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa