Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri perlu melaksanakan transformasi dengan lebih agresif dan radikal sekiranya mahu terus memegang tampuk pemerintahan negara selepas PRU-14. Walaupun PRU13 sudah berlalu, dan BN telah berjaya memenangi sebanyak 133 kerusi parlimen, namun pola dan ‘mood’ luar jangka pengundi menunjukkan terdapat tanda-tanda yang ia akan menjadikan pilihanraya yang akan datang semakin mencabar dan mendebar.
Kabinet baru yang dilantik perlu memikirkan bagaimana untuk mengikis persepsi negatif yang dilemparkan terhadap kerajaan. Bukan sahaja soal pembangunan tetapi pengisian yang perlu dibuat di dalam pembangunan yang akan dilaksanakan itu perlu ditekankan.
Revolusi politik perkauman, keganasan, kebencian dan campurtangan asing perlu ditangani segera sebelum negara terjerebak di dalam kancah pergolakan. Pembangkang sebaik sahaja keputusan PRU13 diumumkan, mereka terus melaksanakan gerakkerja untuk menumbangkan kerajaan.
Siri-siri himpunan yang mendapat sokongan besar masyarakat bukan Melayu perlu dikekang dan pihak berkuasa perlu bertegas dengan dengan penganjur yang melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.
Perkara ini jika dibiarkan, ianya akan menjadi suatu budaya dalam masyarakat dimana pada satu tahap ianya agak sukar dikikis. Negara-negara arab telah mengajar kita, perubahan pentadbiran negara melalui demontrasi jalanan tidak akan menjadikan sesebuah negara itu lebih baik.
Dikenali sebagai 'Arab Spring', negara-negara arab sehingga kini masih bergolak walaupun revolusi yang dibawa itu sudah beberapa tahun berlalu. Pemimpin-pemimpin mereka silih-berganti sehingga tiada kestabilan politik di dalam negara sekaligus menghancurkan ekonomi negara itu.
Adakah perkara yang sama yang kita mahu terjadi di dalam negara ini? Sudah tentu jawapannya tidak. Orang Melayu terkenal dengan budi bahasa dan orang cina tidak akan mampu melakukan demontrasi ini sekiranya tidak mendapat sokongan dari masyarakat Melayu.
Dalam hal ini, keputusan PRU13 yang lalu jelas menunjukkan majoriti Melayu masih sayang dan terus menyokong Umno yang dilihat berjaya mengekal kestabilan di dalam negara. Kerajaan yang naik melalui jalanraya akan tumbang melalui jalanraya juga. Sejarah telah membukti mereka tidak akan bertahan lama.
Kepada mereka yang mahu menjatuhkan kerajaan melalui demontrasi jalanan adalah sewajarnya memikirkan semula niat itu.
Kepada Anwar Ibrahim... BERSARALAH...
Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim ke hulu-ke hilir menganjurkan bantahan melalui 'Himpunan 505' yang kononnya menolak keputusan Pilihan Raya Umum 13 yang jelas tidak memihak mereka, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula didakwa kerana dituduh gagal untuk memberikan notis 10 hari behubung perhimpunan selepas pilihan raya di stadium Kelana Jaya, Rabu lepas.
Anwar sebaliknya lepas tangan apabila anak buahnya didakwa di mahkamah yang mana sekiranya Nik Nazmi dijatuh hukuman bersalah, beliau akan kehilangan kerusi DUN Seri Setia selain denda RM10,000.
Nik Nazmi bagaimanapun tidak mengaku bersalah apabila pendakwaan di bawah di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012, Seksyen 9 (1) PAA 2012, dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Apa jadi kepada Anwar? Sedangkan himpunan di seluruh negara adalah ideanya sendiri kerana majoriti pemimpin dalam Pakatan Rakyat menolak cara sedemikian untuk meluahkan bantahan.
Dan mangsanya adalah 'agas-agas' di bawah ini. Apa komen Nik Nazmi selepas di 'game' Anwar? Kasihan Nik Nazmi, sebab sayangkan bos, terpaksa korbankan diri sendiri menjadi kambing hitam.
Pemimpin PKR seperti N Surendran dan Latheefa Koya sebaliknya memarahi kerajaan kerana mengambil tindakan terhadap Nik Nazmi yang tidak memohon permit untuk himpunan tersebut, atas alasan ianya himpunan aman.
Marahlah Anwar, sebab itu semua agenda beliau. Bukan salah kerajaan dan pihak berkuasa kerana ia terletak di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan. Habislah Nik Nazmi jika kerusi DUN beliau hilang. Adakah Anwar akan membantunya dalam kes tersebut?
Anwar mungkin tergelak besar kerana beliau terselamat daripada sebarang tindakan.
Malah, Anwar masih lagi akan meneruskan 'jelajah 505' untuk menyuarakan ketidak puasan hatinya kepada Barisan Nasional (BN) kerana menggagalkan usahanya untuk menjadi perdana menteri.
Siapa pula akan menjadi mangsa selepas ini? Adakah kepimpinan Pakatan yang lain bersedia menanggung akibat daripada tindakan Anwar dengan menjadi 'kambing hitam' untuk melepaskan Anwar?
Risiko kehilangan kerusi disandang seperti yang dilalui Nik Nazmi mungkin akan berulang sekiranya Anwar terus dengan agenda 'bodoh' untuk menentang keputusan PRU13. Anwar harus menerima nasihat Tan Sri Harussani agar redha dengan ketentuan Tuhan, kerana ianya adalah takdir Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa