Sabtu, 1 September 2012

GELAGAT SEGELINTIR BLOGER


BLOGER atau penulis alam maya kini di anggap sebagai aset dan sayap terpenting di dalam politik.  Peranan dan pengaruh kumpulan ini amat besar. Bagi sesetengah pihak ianya menjadi satu kerjaya yang lumayan. Berbelog membuka banyak ruang dan peluang kepada sesiapa jua untuk memperolehi kuasa populariti dan wang yang tak pernah diimpikan sebelum ini. Tak kira apa latatbelakang dan profesion penulis belog ternyata belog mempunyai daya tarikan dan kuasa pengaruh yang tersendiri dan unik. Komunikasi berlaku pada setiap masa dan pelawat belog mudah berhubung dengan pemilik belog. Tak kira di mana pelawat berada dan di mana pemilik belog pun komunikasi tidak terputus.

Bila kuasa populariti dan wang mudah yang tak pernah diimpikan terbuka luas bagi mereka dan mula mendapat perhatian para pemimpin maka satu bahaya besar menanti mereka. Iaitu sifat mudah lupa daratan. Ego mula meninggi. Kalau dulu mereka beriya iya mempertikaikan para pemimpin kini mereka pula tidak mahu dipertikaikan oleh sesiapa. Alasannya mudah kalau para pemimpin memdengar cakap mereka siapa pula orang lain hendak mengkritik mereka?

Kalau dulu mereka mempertikaikan cara pemimpin kini mereka pula menjadi pengamal cara yang pernah mereka pertikaikan suatu masa dulu. Ramai yang berlumba lumba untuk mengepalai para beloger yang mempunyai nama dan populariti. Mengaku itu dan ini. Ada beloger yang berada di puncak kemahsyuran pula merasakan mereka sahaja yang betul dan benar. Ada beloger yang diberikan amanah dan tanggungjawab mula merasakan diri mereka terlalu hebat dan mula bertindak menentukan segala galanya ke atas beloger lain tanpa sebarang rujukan. Keputusan di buat hanya berdasarkan kepada nafsu dan kehendak sendiri. Tiada siapa pula yang ada keberanian untuk memberikan nasihat dan teguran kepada mereka.

Semua suara kritikan di kekang dan pengkritik akan dilabel dengan macam macam label serta di pandang serong. Fenomena ini jika dibiarkan  berterusan akan mengujudkan satu suasana yang tidak kondusif dan sihat kepada perkembangan dan kepercayaan umum. Lama kelamaan kepercayaan umum akan terhakis.

Setiap beloger perlu memikirkan kepentingan umum dan mengkritik secara konstruktif dan bukan melebarkan lagi perbezaan politik. Beloger perlu memainkan peranan yang positif sebagai agen perpaduan di negara ini. Melaporkan fakta yang sahih dan benar serta tidak bertindak sebagai tukang fitnah dan penyebar gosip liar. Beloger juga perlu memikirkan kesan dan impak penulisan mereka kepada pembinaan mentaliti dan sikap pembaca mereka. Beloger perlu menjadi penulis dan manusia beretika. 

Sumbangan terbesar beloger kepada pembinaan masyarakat dan negara dalam memacu negara ini ke arah kemajuan pemikiran ialah menjadi manusia yang tak mudah lupa daratan. Menjadi manusia yang bermaruah dan bukan sekadar mengejar populariti dan wang ringgit sahaja. Adakalanya beloger perlu mengambil pendirian sentiasa berpihak kepada kebenaran. Beloger juga perlu bersikap terbuka kepada kritikan yang membina.

Beloger seharusnya menjauhi dari menjadi manipulatif dan diktatif kerana itu menyebabkan mereka bersifat destruktif. Jika mereka bergerak dalam kumpulan dan secara kolektif, mereka perlu menjaga dan melindungi setiap ahli kumpulan mereka. Tetapi jangan sampai mempertahankan kejahatan ahli dan peneraju kumpulan pula.

Tapi dah namanya manusia, beloger tetap akan terjerumus ke dalam perangkap dan jerat fenomena lupa daratan dan mementingkan diri sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa