Selasa, 17 Julai 2012

SUKMA XV BERAKHIR- BERJUMPA LAGI DI PERLIS PADA 2014

Malaysian Games XV

KUANTAN, 16 Julai (Bernama) -- Acara penuh warna-warni dan gilang-gemilang memeriahkan majlis penutup Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 yang melabuhkan tirainya secara rasmi di Stadium Darul Makmur di sini, Isnin malam.

Majlis penutup temasya itu yang bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan', disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri pada majlis penutup itu disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Upacara dimulakan dengan Perdana Menteri menunggang basikal mengelilingi stadium, simbolik malam gilang-gemilang buat seluruh penggemar sukan tanah air.

Majlis berkenaan disaksikan lebih 40,000 penonton yang datang dari seluruh pelosok Pahang membanjiri stadium seawal pukul 5 petang.

Kombinasi konsep moden dan tradisional itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan kumpulan One Nation Emcee.

Temasya dwi tahunan yang bermula pada 1986 itu, disertai 5,828 atlet dan pegawai dari 15 kontinjen termasuk pasukan jemputan, Brunei.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan piala kepada Terengganu yang muncul juara keseluruhan buat kali keempat berturut-turut selepas berjaya mengutip 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa