Berucap menyampaikan syarahan perdana Za'aba di Universtiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Hulu Selangor, pada 21 hb September 2011, bertajuk ' Mampukah Malaysia Menghadapi Cabaran Imperalisme Bentuk baru' Tun Dr M mengingatkan para hadirin bahawa ilmu dan peribadi baik adalah perisai utama menangkis Imperialisme bentuk baru di alaf baru ini.
Dr Mahathir berkata dengan ilmu yang mencukupi, negara akan dapat ditadbir dengan lebih baik oleh rakyat berdasarkan acuan sendiri, tanpa perlu tunduk kepada pengaruh asing, yang merupakan sebahagian daripada bentuk imperialisme.
“Satu cabaran penting bagi kita ialah ilmu. Jika ada ilmu yang cukup kita akan dapat tentukan negara boleh dibangunkan dengan usaha kita sendiri,”
Dr Mahathir berkata kuasa-kuasa barat merupakan pelaksana imperialisme yang sebenarnya yang mana bagi mereka imperialisme ialah untuk menakluk dan mentadbir negara lain sehingga negara itu hilang kuasa.
“Tetapi itu imperialisme cara lama. Sekarang, walaupun bukan secara langsung tetapi imperialisme itu masih wujud dan menguasai masyarakat dalam pelbagai bentuk sama ada politik, ekonomi mahupun sosial serta mempengaruhi akal fikiran seseorang,” katanya.
Dr Mahathir berkata sebagai contoh, banyak negara masih tertakluk kepada imperialisme barat apabila masih menerima pakai konsep-konsep dan ideologi barat seperti kapitalisme, demokrasi dan sosialisme.
Katanya selain menerusi konsep dan ideologi, barat juga cuba untuk menguasai dunia dengan menerapkan nilai hidup mereka ke dalam masyarakat lain menerusi pelbagai medium termasuk media seperti televisyen, akhbar, majalah dan internet.
“Pemikiran mereka diserap tanpa kita sedar atau tidak dan mempengaruhi pemikiran kita,” katanya.
Risau jika pengaruh barat itu terus berkembang sehingga memusnahkan nilai moral dan peribadi masyarakat Malaysia, Dr Mahathir berpendapat faktor pembentukan peribadi dan sahsiah perlu diberi penekanan yang lebih di dalam kokurikulum sekolah.
“Harus ditentukan kokurikulum yang sesuai untuk memastikan nilai-nilai mulia ini dapat dibentuk. Sekarang aspek itu memang ada dalam pelajaran agama ataupun moral, tetapi pelajaran agama misalnya lebih menekankan kepada ibadah tertentu dan bukannya nilai-nilai hidup.
“Jika ada penekanan terhadap nilai-nilai hidup mulia, hari ini kita tidak akan melihat banyak perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara seperti rasuah dan jenayah,” katanya.
“Untuk mempertahankan diri daripada serangan imperialisme kita perlu menguasai ilmu sains, bukannya menidakkan ilmu lain atau ilmu agama tetapi sains memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi cabaran imperialisme baru,” katanya.
Pada masa sama beliau turut mengulangi kepentingan untuk menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu memandangkan kebanyakan penemuan dan kertas kerja kajian, khususnya dalam ilmu sains dan matematik dibuat dalam bahasa Inggeris.
Mengulas lanjut isu itu pada sidang media kemudiannya, Dr Mahathir berkata menguasai bahasa Inggeris tidak bermakna kurangnya sifat nasionalisme, malah katanya seorang nasionalis sebenar pastinya mahu melihat Malaysia setanding negara lain.
- sumber dipetik sebahagian dari blog KAMALUDDIN'S BLOG tengkiu Pak DIN !!!!
TEPUK DADA TANYA IMAN!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa