PUTRAJAYA 11 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini menyenaraikan 20 barang borong dan runcit sebagai harga terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan harga barang berkenaan akan berjalan selama dua minggu iaitu bermula dari 22 Ogos hingga 5 September ini dengan dua jenis barang ditambah dalam senarai harga kawalan tersebut.
"Pada tahun lepas sebanyak 18 barang terlibat dalam skim kawalan tersebut dan untuk tahun ini kita akan tambah beberapa jenis barangan lain.
"Antaranya ayam, daging, telur termasuk semua jenis bawang seperti bawang besar, bawang kecil dan bawang putih," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Jom Beli Barang Raya@Putrajaya di sini.
Program tersebut yang diadakan di tapak Presint 2 menawarkan pelbagai jenis barang kelengkapan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri seperti pakaian, kasut, barangan elektrik, perabot dan lain-lain lagi dengan harga yang murah.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberi amaran kepada semua peniaga di bazar Ramadan supaya tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga makanan atau bakal berdepan dengan tindakan tegas penguatkuasaan.
"Sepanjang bulan ini kita sudah ambil beberapa tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 disebabkan harga terlampau (mahal).
"Biasanya kita akan keluarkan surat tunjuk sebab kenapa harga sedemikian dinaikkan, kalau kita berpuas hati, peniaga tersebut akan dilepaskan dan jika tidak, satu tindakan keras akan diambil," katanya.
Di bawah akta itu, peniaga atau individu yang ingkar boleh didenda sehingga RM100,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000. Bagi pertubuhan pula, ia boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Mengulas mengenai masalah bekalan minyak masak yang didakwa berkurangan sejak beberapa minggu lalu, beliau berkata, masalah tersebut hampir selesai apabila Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mula menambah kuota bekalan itu.
"Sebelum ini terdapat sedikit masalah apabila kuota MPOB ditambah pada 1 Ogos lalu dan jika ditambah lebih awal mungkin tidak timbul masalah sebegini.
"Bagaimanapun, pengguna jangan risau kerana saya sendiri yang akan pantau bekalan minyak masak dengan menerima laporan setiap dua kali sehari dan jika pengguna ada masalah boleh terus mengadu kepada kita," katanya.- SUMBER ASAL UTUSAN MALAYSIA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri Tulis Sendiri Tanggung Ya, Penulis Blog Tidak Bertanggungjawab Ke atas Implikasi Perundangan Yang Dikenakan Oleh Pihak Berkuasa Ke atas Mana-mana Ulasan Yang Menyalahi Perundangan Yang berkuatkuasa